Rabu, 16 Disember 2009

PENGENALAN KLIP-AU4

Seni Silat Cekak Malaysia mula bertapak di Keramat AU4 sejak tahun 1988. Pada ketika itu, dirasmikan sendiri oleh Guru Utama merangkap Presiden PSSCM, YM Tuan Hj Ishak Bin Itam.  Seni Silat Cekak Malaysia bergerak hampir 22 tahun dan sehingga kini diterajui oleh Penyelia Kelas Latihan, Tn Hj Izham Bin Ismail dan beberapa orang tenaga pengajar yang memberikan sokongan padu untuk berkhidmat.

Berkat ketabahan dan keikhlasan pemimpin serta ahli-ahlinya, Kelas Latihan AU4 telah mampu bergerak maju dan cergas serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat khususnya dan masyarakat luar amnya.

Kini Kelas Latihan Silat Cekak Malaysia AU4, telah bergiat aktif dengan pertumbuhan penuntut yang memberangsangkan serta mewujudkan kelas-kelas ahli tamat dan demonstrasi.  Pencapaian Kelas Latihan ini amat dibanggakan dengan meraih Naib Johan Keseluruhan, Kejohanan Waja Diri Kebangsaan pada tahun 2009 ini dan membuat persembahan demonstrasi penerangan Silat Cekak di kawasan setempat disamping menyertai acara-acara dan kursus-kursus yang dijalankan oleh Persatuan Seni Silat

Cekak Malaysia sendiri mahupun aktiviti –aktiviti yang digerakkan oleh Jawatankuasa Kelas Latihan AU4.

PANTUN SILAT CEKAK

Pantun Silat Cekak ini telah dicipta oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dengan bertujuan untuk memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat Cekak bahawa Silat Cekak lebih menekankan kepada pendidikan rohani dan jasmani yang tidak terkeluar dari landasan Islam. Menurut keterangan dari ahli-ahli Silat Cekak, pantun ini telah dicipta pada tahun 1975.

Isnin, 23 Mac 2009

SYARAT-SYARAT BELAJAR SILAT CEKAK MALAYSIA


Seni Silat Cekak Malaysia adalah terbuka kepada semua penduduk Malaysia lelaki dan perempuan yang berumur 16 tahun (seelok-eloknya 18 tahun) ke atas yang beragama Islam dan sihat tubuh badan serta berfikiran waras.

Tempoh Pembelajaran Silat Cekak Sistem pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia secara keseluruhannya diajar kepada penuntut secara pakej. Setiap penuntut perlu menyempurnakan pakej tersebut dan barulah dianggap mereka telah mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia hingga bertanggungjawab mempertahankan diri.

Sistem mata pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia yang terbahagi kepada beberapa peringkat tersebut mengambil masa selama lebih kurang tujuh (7) bulan untuk tamat pembelajaran. Selepas tamat pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia maka penuntut adalah digalakkan untuk meneruskan kemahiran di dalam Silat Cekak dengan menyertai kelas kemahiran yang pada kebiasaannya akan mengambil masa selama lebih kurang 3 bulan dengan 1 kelas latihan seminggu (tertakluk kepada perubahan semasa).

Rabu, 11 Februari 2009

PENGERTIAN






Pengertian Cekak Petikan
daripada artikel yang bertajuk
'Cekak'Suara Cekak, KDN 9130,
Bilangan 1, Tahun 1975

Mengapakah Silat Cekak ini dipanggil Silat Cekak? Mengapakah tidak diberi nama-nama yang lain? Adakah nama Cekak diletakkan dengan tidak mempunyai apa-apa maksud? Perkataan Lama. Perkataan Cekak adalah satu perkataan yang tua yang telah lahir sejak zaman masyarakat Melayu. Perkataan 'Cekak' digunakan setiap hari, ini menunjukkan perhubungan yang rapat antara masyarakat kita dengan perkataan 'Cekak' itu tetapi mereka masih jauh dari pengertian Cekak apabila perkataan itu digunakan sebagai nama sejenis seni silat iaitu Seni Silat Cekak. Oleh kerana perkataan Cekak mempunyai pertalian yang erat dengan tata bahasa Melayu, untuk mengetahui mengapakah Silat Cekak itu dinamakan 'Silat Cekak', kita mestilah mengkaji dari segi istilah dan penggunaan perkataan 'Cekak' itu sendiri. Makan Cekak. Di Utara terutama di Kedah, perkataan Cekak itu telah dijadikan satu simpulan bahasa - 'makan cekak'. Simpulan bahasa tersebut membawa makna bertanggungjawab. Misalnya ada suatu pekerjaan yang hendak dibuat, maka ada orang yang mengatakan: "Ah, itu aku seorang saja pun 'makan cekak'." Bila dibawa kembali kepada 'Silat Cekak' maka makna 'Silat Cekak' ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari dianiayai oleh musuh-musuhnya. Bercakak. Di dalam bahasa Minang, perkataan Cekak ada juga, tetapi tidak disebut sebagai 'Ce-kak' tetapi disebut dengan bunyi 'Cakak'. Bercakak dalam bahasa Minang membawa maksud bergaduh. Contohnya: "Si Ali dan si Ahmad sedang bercakak di simpang tiga". Ini membawa pengertian bahawa si Ali dan si Ahmad sedang bergaduh. Jadi kembali kita kepada makna Silat Cekak - ia membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat Cekak ini suka bergaduh tetap ialah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk mempertahankan diri. Jelas sekali Silat Cekak sebenarnya Silat yang benar-benar untuk mempertahankan diri bukan untuk pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di pesta-pesta. Sebab itulah Silat Cekak tidak ada tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh. Secekak. Pergi pula kita kepada perkataan secekak. Secekak membawa erti segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja (segenggam) bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ianya sangat cepat, teratur dan dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali. Kedua, segenggam menunjukkan padu. Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni mempertahankan diri. Kesimpulan. Dari hujjah-hujjah di atas dapatlah kita membuat satu tumpuan kesimpulan, mengapa Silat Cekak dinamakan Silat Cekak itu. Silat Cekak adalah sesuai dinamakan kepada amalan Seni Silat ini kerana Seni Silat ini adalah satu-satunya jenis silat yang benar-benar asli hak pusaka Melayu yang mempunyai pegangan untuk bertanggungjawab di dalam menjaga diri pengamal-pengamalnya. Untuk penjelasan, penerangan di atas cuma menitik beratkan Silat Cekak dengan pengunaan perkataan 'Cekak'. Sebenarnya dari segi mata pelajaran dan kaedah yang diajar memanglah sesuai dan tepat mengapa Silat Cekak dinamakan Silat Cekak. Hal ini sudah tentu diketahui oleh penuntut-penuntut silat yang telah tamat pelajarannya.

PENGENALAN SILAT CEKAK




Seni Silat CEKAK ialah sejenis silat yang benar-benar asli dan bertanggungjawab untuk mempertahankan diri. Ia bukannya sejenis silat permainan (Silat Pulut atau Silat Pengantin), sebab itu tidak ada gendang, tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan. Seni Silat CEKAK mempunyai kaedah-kaedah yang tetap yang tidak boleh diubah-ubah disamping buah-buah pukulan yang cukup kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Jadi, tidak perlu ditokok tambah sama ada dari dalam ataupun luar negeri. Pergerakkan dan sistem silat ini sesuai benar dengan gerak-geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengap prinsip Agama Islam. Pelajarannya lebih menitik beratkan segi mempertahankan diri suapaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamtan diri, barulah CEKAK menyerang. Yang paling istimewa sekali, di dalam kaedah serangannya, di kala CEKAK menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekirannya di tepis pula pasti dimakannya. Keduanya pula sambil menyerang ia dapat menangkap (CEKAK menyerang, CEKAK Menangkap). CEKAK menunggu serangan dengan berdiri lurus (berdiri sembahyang), tidak berkuda-kuda dan tidak melangkah ke kiri dan ke kanan, bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak, sebab sebenarnya hakikat silat CEKAK ialah Silat Gerak. Penuntut-penuntut dilatih di waktu menankis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja. Matlamat CEKAK ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan.